Friday 13 July 2012

Cerita Dan Lagu.." Sang Kancil Dengan Sang Buaya".

Selamat Sejahtera semua.
Cikgu harap semua pengunjung  ke halaman "Cikgu Sayang Semua" sentiasa berada di dalam kondisi yang sihat, segar dan ceria. InsyaAllah.


Baiklah, hari ini cikgu akan menyegarkan suasana dengan kisah haiwan yang popular dalam kalangan kanak-kanak, iaitu Sang Kancil dengan Sang Buaya.Cerita kali ini dibawakan bersama lagu yang amat menarik. Untuk itu, murid-murid cuma perlu klik pada video yang disediakan di bawah ini.Selamat berhibur...Jangan lupa menjawab soalan-soalan yang dikemukakan selepasnya, ye..^_^



Latihan Pemahaman :

1. Apakah yang dibuat oleh Sang Kancil di tepi sungai itu?


2. Mengapakah Sang Kancil ingin ke seberang sungai?


3. Bagaimanakah caranya Sang Kancil pergi ke seberang sungai itu?


4.Adakah Sang Kancil berjaya mendapatkan buah-buahan yang diingininya?


5.Nyatakan nilai yang terdapat di dalam cerita ini. 

Wednesday 11 July 2012

Pantun Dua Kerat

Assalamualaikum dan Salam sejahtera .
Apa khabar, semua?
Semoga semuanya berada dalam kondisi yang baik, sihat dan ceria.


Baiklah, hari ini cikgu ingin berkongsi ilmu yang cikgu perolehi daripada "Kursus Didik Hibur Dalam Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Malaysia". Untuk pengetahuan semua, kursus ini dijalankan selama tiga hari mulai semalam.
Berdasarkan pengalaman cikgu yang sudah lebih dua dekad berada dalam dunia pendidikan, cikgu berpendapat kaedah-kaedah yang didedahkan atau dicadangkan ini sudahpun dijalankan oleh guru-guru sejak lama dahulu. Cumanya, kali ini ianya dijenamakan semula dengan "aksesori" tambahan berbantukan kemajuan bidang ICT di sekolah-sekolah.


Untuk itu, hari ini cikgu mahu mengetengahkan aspek Didik Hibur di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu melalui aktiviti pantun dua kerat. Cikgu akan menyediakan beberapa rangkap pantun dua kerat dengan tajuk "Adab Makan".

                          Suka duka kenalah sabar,
                          Makanlah kita apabila lapar.


                          Sedap sungguh gulai ikan,
                          Basuhlah tangan sebelum makan.


                          Jamu selera dengan rakan,
                          Bacalah doa sebelum makan.


                          Baik hati orang sayang,
                          Berhenti makan sebelum kenyang.


                          Waktu makan usah berangan,
                          Lepas makan basuhlah tangan.


                          Burung tempua burung tekukur,
                          Bacalah doa tanda bersyukur.

Hmm..bagaimana murid-murid? Boleh kamu lafazkan pantun-pantun itu? Cuba kamu nyanyikan pantun-pantun itu mengikut rentak lagu di bawah...



Sebagai mengingat kembali pelajaran hari ini, cuba kamu senaraikan adab-adab makan yang baik. Kemudian, kongsikan maklumat ini dengan rakan-rakan kamu.
Sehingga jumpa lagi, selamat belajar..^_^




Monday 9 July 2012

Alhamdulillah..Perkhabaran Ini Sungguh Indah.

Assalamualaikum wbt..dan Selamat Sejahtera buat semua ..jika masih sudi mengunjungi laman Cikgu Sayang Semua.

Sudah agak lama cikgu berdiam diri, setelah berasa "lega" menyempurnakan tanggung jawab sebagai "pelajar" bagi semester ini, terutamanya apabila berada di ambang "usia emas" ini.
Jujurnya, cikgu akui...cikgu berasa sangat lega selepas penat berforum,mentelaah mencari bahan-bahan sebagai rujukan menyiapkan assignment, di samping tugas-tugas rutin cikgu di sekolah dan di rumah.

Hmmm..hari ini cikgu hanya ingin berkongsi berita gembira dengan semua. Berita yang selama ini cikgu tunggu dengan penuh debaran..^_^

Haha..macam para pelajar juga..bila lepas exam, mesti rasa macam ni..lebih-lebih lagi jika kita kurang bersedia atau kurang yakin dengan apa yang telah kita jawab semasa peperiksaan berlangsung..( Cuak jugak ni..hehe)

Petang tadi, cikgu menerima beberapa mesej daripada kawan-kawan yang sama-sama belajar macam cikgu..Mereka memberitahu cikgu bahawa keputusan peperiksaan semester lepas telahpun dikeluarkan dan boleh dilihat di dalam portal universiti. Saat menerima mesej itu..rasa risau dan cuak tu bertambah 200%..Risauuuuuuuuuuuu sangat..Bimbang nak menghadapi kenyataan..huhu..
Masa tu, cikgu sengaja pura2 sibuk..(memang sibuk pun..) supaya tak terpanggil untuk membuka portal tersebut. (Konon2 nak buat muka "cool" aje lah..) ^_^

Namun, bila seorang lagi kawan baik cikgu menghantar mesej, bertanyakan result cikgu..hmm..memang tak sabar jugak nak tau..Apatah lagi, mesej kawan cikgu tu berbau gembira..(jeles pulak!! hahaha)
Jadi, tanpa berlengah lagi, cikgu yang ketika itu cuma bermesej2 dengan handphone..terus pula mencari alamat portal universiti. Alhamdulillah, malam ini senang pula nak dapat..=)

Sebaik sahaja dapat membuka laman tersebut..terasa sekali lagi bebanan di hati menjadi ringan..Syukur, syukur..syukur Alhamdulillah..penat lelah cikgu terbalas akhirnya..:) Kali ini pula keputusan yang diperolehi adalah lebih baik daripada semester lalu..Alhamdulillah, Ya Allah..Aku bersyukur atas kurniaanMu.
Doakan cikgu untuk terus bersemangat dan istiqamah dalam ikhtiar dan doa ye...:)


Thursday 24 May 2012

Mari Menyanyi...(^_^)

Salam Sejahtera murid-murid.
Di sini cikgu ingin berkongsi beberapa buah nyanyian kanak-kanak yang boleh murid-murid belajar sambil berhibur.
Antaranya :
1. Burung Kakak Tua..boleh klik di sini..

2. Embun Sok Sek..
    http://www.mediafire.com/?3dztoymnedt

3.Jing Kling Nona..
   http://www.mediafire.com/?jnkij4mitml

4. Lodeh Mak Lodeh..
    http://www.mediafire.com/?dzobfmowvzy

5. Puteri Santubong..
    http://www.mediafire.com/?yqnmt1yew3z

Tuesday 22 May 2012

Ciri-ciri Murid Cemerlang..


Selamat sejahtera murid-murid.
Semasa duduk-duduk di depan komputer ini, tiba-tiba cikgu teringat untuk berkongsi sedikit ilmu dengan kalian. Kali ini adalah mengenai ciri-ciri peribadi murid cemerlang. Cemerlang yang boleh menjadi contoh kepada orang lain.

Seorang murid yang cemerlang, padanya terdapat banyak ciri-ciri kebaikan. Ciri - ciri tersebut banyak membantu murid-murid ini untuk berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah...(^_^)

Berikut merupakan ciri yang harus dimiliki oleh seseorang murid yang ingin menjadi seorang cemerlang di dunia seterusnya cemerlang di akhirat.

1.  Taat kepada Allah.
2.  Taat kepada kedua ibu bapa.
3.  Taat dan hormat kepada guru.
4.  Sentiasa bermotivasi, bersemangat.
5.  Tekun dan rajin berusaha.
6.  Tidak mudah putus asa.
7.  Sentiasa bersyukur kepada Allah.
8.  Pandai memilih rakan.
9.  Sentiasa bersangka baik dan befikiran positif.
10 Tidak bersikap dan berfikiran negatif.
11.Rajin bertanya.
12.Ada strategi yang baik.
13.Beriadah.
14.Menjaga pemakanan..(berkhasiat,halal dan daripada sumber yang halal)
15.Berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Cuba periksa diri murid-murid. Adakah ciri-ciri yang cikgu sebutkan di atas,terdapat dalam diri murid-murid? Jika ada, tahniah cikgu ucapkan. Sebaliknya, jika belum memenuhi kriteria tersebut, ayuh kita perbaiki bersama-sama. InsyaAllah.
Semoga murid-murid cikgu tergolong dalam kalangan murid-murid yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Mari Berkreativiti..(^_^)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
 Selamat bertemu kembali, setelah beberapa waktu cikgu "berehat" selepas menyiapkan tugasan-tugasan yang diterima daripada para pensyarah cikgu.


 Alhamdulillah, terus terang cikgu berasa amat lega kerana berjaya menyiapkan semua tugasan tersebut dengan baik. Hari ini cikgu hendak bersantai-santai dengan murid-murid untuk melakukan aktiviti yang turut menjadi kegemaran cikgu semasa berusia seperti murid-murid.


Ya..cikgu juga suka melukis dan mewarna.Murid-murid sangat bertuah kerana pada hari ini kerja melukis dan mewarna telah menjadi bertambah senang dengan adanya sumber dan bahan yang mudah didapati daripada laman-laman web di dalam internet.


 Satu perkongsian dari cikgu,sebenarnya cikgu puas mencari lukisan-lukisan warna hitam putih untuk diwarnakan kanak-kanak dan juga pelajar sekolah. Puas taip dalam bahasa Melayu tetapi sangat sedikit yang cikgu jumpa. Kemudian,cikgu cuba pula dengan keyword dalam bahasa Inggeris. Itupun cikgu cuma dapat satu atau dua sahaja. Namun, sebaik sahaja cikgu klik pada gambar ini :









ianya telah membawa cikgu kepada ratusan gambar yang boleh didownload dan diwarnakan untuk oleh murid-murid. Berikut adalah link yang cikgu maksudkan :


 LUKISAN UNTUK KANAK-KANAK / KID COLOURING PAGES
 (http://www.freecoloring.info/kid-coloring-pages.php)

Sunday 6 May 2012

Lagu Peribahasa

Assalamualaikum wbt, murid-murid.
Apa khabar ? Cikgu doakan semuanya sihat sejahtera.
Hari ini cikgu ingin mengajak kamu menyanyikan lagu peribahasa sambil mencatatkan maksud peribahasa tersebut.
Ayuh, kita menyanyi..klik pada video yang disediakan.


Cerita lagi.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.
Haa..sudah agak lama cikgu tidak bercerita dengan murid-murid. Hari ini, cikgu ada sebuah cerita haiwan yang ingin dikongsikan. Murid-murid boleh klik pada video di bawah ini. Tonton dan dengarkan ye..



Berdasarkan cerita ini, cikgu mahu murid-murid nyatakan tiga pengajaran yang boleh dijadikan panduan kepada murid-murid. Apakah watak yang baik di dalam cerita ini? Siapa pula yang tidak patut ditiru kelakuannya? Mengapa?                                                                                                    

Fikir-fikir..

1. Membawa harta menyusahkan kita bagi menjaganya,
    Membawa ilmu menyenangkan jiwa sebab sesiapapun tidak dapat mencurinya,
    Kalau dibahagikan kepada orang, ia akan bertambah.
    Ilmu tidak payah dikawal dan dijaga seperti harta.


2. Guru mengajar lebih melalui keperibadian mereka, berbanding apa yang mereka katakan.


3. Mengajar adalah profesion yang mengajar semua profesion lain..

Hati Kecil Dan Hati Besar.


Hati saya kecil,
   Cepat terasa apabila ditegur.


   Hati cikgu besar,
   Ditegur bapa pelajar cikgu tetap bersabar.


   Hati saya kecil,
   Dipukul sedikit terus mengadu.


   Hati cikgu besar,
   Dikutuk orang tetap tidak kisah.


   Hati kecil cepat terasa.
   Hati besar sentiasa berlapang dada.


   Doa saya setiap hari,
   Semoga hati saya cepat membesar.

p/s : puisi ini sahaja dititipkan sebagai perbandingan rasa antara seorang pelajar dengan seorang   pendidik.
Mungkin ada benarnya kan..^_^

Saturday 5 May 2012

Orang kata...Saya kata..






Orang kata cikgu garang,
Saya kata cikgu marah kerana sayang.


Orang kata cikgu bengis,
Saya kata demi kebaikan cikgu bertegas.


Orang kata cikgu baik,
Saya kata bukan baik tetapi sangat baik.


Orang kata cikgu macam bagus,
saya kata murid yang bagus hasil didikan guru yang bagus.


Orang kata cikgu dibayar gaji,
Saya kata budi cikgu tidak ternilai oleh gaji.


Orang kata cikgu akan dilupakan,
Saya kata doa untuk cikgu kekal sepanjang zaman.



Saya Tidak Buat!!

Seorang kanak-kanak perempuan baru pulang dari sekolah. Matanya merah kerana dia baru lepas menangis. Ibunya yang sedang mengemas dapur terperanjat apabila melihat  anaknya, lalu bertanya," Dina, mengapa mata kamu merah? Kamu menangis?" Ibu itu merapati anaknya.
Anak itu hanya mengangguk.


"Mengapa kamu menangis?" Ibu itu bertanya lagi. "Saya dimarahi cikgu atas perkara yang saya tidak buat. Betul ibu. Saya tidak buat perkara itu." Si anak bersungguh-sungguh menerangkan.


"Itu tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya kamu tidak buat, mengapa pula kamu dimarahi? Tetapi..." Ibu itu terhenti seketika. "Apa yang kamu tidak buat?
Dengan selamba si anak menjawab," Kerja rumah."
"Hmmmmmmmmmmmmmm.." Si ibu melepaskan keluhan panjang.

Mahu Jadi Apa??

Dahulu pernah ibu bertanya,
Mahu jadi apa, apabila dewasa?
Saya senyum sampai ke telinga, 
Ahli bomba itulah cita-cita.


Namun apabila masuk sekolah,
 Hati saya mula berubah,
 Lihat kawan menulis di sebelah,
Mahu jadi doktor, tak mahu kalah.


Tetapi sejenak saya berfikir,
Walau apapun impian diukir,
Tanpa guru, sukar dizahir,
Tekun mengajar, tidak pernah mungkir.


Kini saya membuka mata,
Apapun cita-cita apabila dewasa,
Saya mahu jadi manusia berguna, 
Berbakti kepada nusa dan bangsa.


Buat guru yang saya sayang,
Budimu sentiasa akan dikenang,
Ilmu dipegang, tidak pernah lekang,
Semoga menjadi insan cemerlang.

p/s : Pantun berkait ini saya terima daripada bekas pelajar saya yang kini sudah berada di menara gading dan menuntut dalam jurusan kedoktoran. Baru-baru ini sedang saya mengemas barang-barang untuk berpindah, saya temui kad ucapan yang diberi kepada saya oleh pelajar tersebut semasa sambutan Hari Guru 8 tahun yang lalu. Sejuk hati saya apabila terkenang akan pelajar tersebut. Pasti sejuk juga perut ibu yang mengandungkan dia. Alhamdulillah.

Monday 23 April 2012

Lagu Bunyi-bunyi fonic..

   










Membaca Perkataan VKVK

Mari kita belajar sambil menyanyi..Selepas itu, cikgu mahu murid-murid menulis semula perkataan yang telah dipelajari ini ke dalam buku catatan murid-murid.
Baiklah, selamat belajar sambil berhibur.




Mari Belajar Perkataan Vokal Berganding

Selamat Sejahtera .


Apa khabar semua? Alhamdulillah, hari ini kita dapat bertemu lagi untuk menyambung pembelajaran dengan kemahiran yang baharu ini. 
Sudah bersedia semuanya?

Pada hari ini, kemahiran yang hendak cikgu ajarkan ialah kemahiran membaca perkataan dengan vokal berganding.
Lihat video di bawah ini. Cuba murid-murid ikut ye..



Saturday 21 April 2012

Contoh Rancangan pengajaran Harian Mata Pelajaran Bahasa Malaysia KSSR Tahun 1


Berikut adalah contoh persediaan mengajar Bahasa Melayu bagi kurikulum yang baharu (KSSR) :
Kelas /
Masa/
Mata Pelajaran
Kandungan
Impak / Catatan
1 Intelek

9.00 pagi
Hingga
10.00 pagi

Bahasa Melayu
Tema : Kekeluargaan
Tajuk : Keluarga Saya
Fokus Utama         : SK 1.2          SP 1.2.4
Fokus Sampingan : SK 2.3          SP 2.2.1
Kem.Linus              : 2.3
(jika kelas bercampur dengan murid LINUS)

Objektif                  :
Pada akhir pengajaran, murid dapat :
1.    Mendengar, menyebut dan mengeja perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi suku kata
2.    Membaca perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi dua atau tiga suku kata terbuka dan tertutup dalam ayat dengan sebutan yang betul.
3.    Membaca dan membunyikan suku kata KVK (LINUS)

Aktiviti :
1.    Set induksi
2.    Murid mengeja dan membaca suku kata
3.    Murid menandakan perkataan yang didengar
4.    Murid memadankan gambar dengan perkataan.
Pengisian Kurikulum :
Ilmu : Pendidikan Moral
Nilai : Kasih Sayang
KBT  : KB (menjana idea)

EMK :   Fasa Persediaan
Fasa Imaginasi
Fasa Perkembangan
Fasa Tindakan

Sistem Bahasa :
Kata Nama Am

Media (BBB) :
-          Kad perkataan, kad gambar

Refleksi :
-          80% daripada 36 murid dapat mengeja perkataan dan suku kata terbuka dan tertutup manakala selebihnya dapat mengeja dengan bimbingan guru.

-          100% daripada 4 orang murid LINUS dapat membaca dan membunyikan suku kata KV

Mari Berpantun

Tajuk : Menjaga Kebersihan Diri


Pucuk paku , daun selasih,
Dibeli dari kedai Pak Hadi,
Jika mahu diri bersih,
Bangun pagi teruslah mandi.


Pergi ke hulu dengan Pak Utih,
Mencari kayu dengan kelapa,
Jika mahu gigi yang putih,
Gosok selalu janganlah lupa.

Dari hulu pergi ke Bangi,
Hendak membeli pisang embun,
Jika mahu berbadan wangi,
Ketika mandi gunakan sabun.

Naik perahu ke Tanjung Pura,
Makan laksa di Tanjung Dahan,
Jika mahu hidup sejahtera,
Setiap masa jagalah kebersihan.

*********************************************************************************

p/s :  Cuba murid-murid lihat gambar di bawah .Sebagai seorang Muslim,
mari kita ikut sunnah Rasululllah SAW dalam menjaga kesihatan diri baginda..




Latihan Ulang kaji.

Berdasarkan pelajaran yang lalu, cuba jawab soalan-soalan berikut :

Isi tempat kosong dengan simpulan bahasa yang berikut.
  baik sangka             anak angkat             angkat kaki            

 alas perut                 bahasa dalam           bekas tangan         

 cabut nyawa            durian runtuh            mencari jalan          
  beri muka
1. Pagi tadi Ah Meng ....................sebelum pergi Taiping.

2. ....................Pak Cik Ismail menjadi doktor gigi.

3. Apabila pegawai penguatkuasa datang ke tempat itu, semua penjaja yang tidak tidak berlesen ..........................

4. Perkataan santap, gering dan beradu merupakan .............................

5. Orang tua selalu .............................dengan semua orang.

6. Inilah manuskrip .............................pengarang yang terkenal itu.

7. Ayahnya terlalu ...........................kepada anak lelakinya, akhirnya dia menjadi budak yang nakal.

8. Perompak itu hendak ...........................mangsanya, tetapi hasratnya tidak berjaya bila polis sempat menembaknya.

9. Apabila dia disuruh membuat kerja yang berat, dia selalu ..........................

10. Pada hujung tahun semua kaki tangan kerajaan mendapat ..........................



Friday 20 April 2012

Simpulan Bahasa Bergambar.
















Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Semoga semuanya sihat dan ceria selalu.
Baiklah, mari kita teruskan pembelajaran kita dengan beberapa baris simpulan bahasa bergambar.
Selepas ini, cikgu mahu murid-murid cuba menggunakan simpulan bahasa tersebut di dalam ayat.
Selamat belajar.