Kotak Fikir

Situasi 1:

Kisahnya...


Setelah menduduki satu ujian akhir semester, seorang pelajar cemerlang menemui profesornya. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk bertanya tentang kewajaran soalan terakhir dalam kertas ujian tersebut. "Prof, adakah soalan terakhir itu dikira sebagai sebahagian daripada markah pepriksaan akhir juga?". "Ya, sudah tentu." Jawab profesor. "Tapi, Prof, soalan itu di luar daripada sukatan dan tiada kena-mengena dengan mata pelajaran ini." Pelajar itu cuba memberi komen.
" Kamu silap. Ia ada kaitan dengan sukatan pelajaran." "Mungkin Prof terlupa. Soalannya berbunyi,'Siapakah nama tukang cat Jabatan Kejuruteraan Aeronauntik?' Bagi saya, soalan ini langsung tiada kaitan dengan kursus yang saya ambil !" tegas pelajar itu untuk menyokong dan memuaskan hatinya. "Pelajar seperti kamu tidak hanya semata-mata cemerlang dalam peperiksaan. Teori hanya sebahagian kecil daripada proses pembelajaran. Teori perlu dipraktikkan. Tetapi teori dan praktikal pun masih belum cukup. Sikap peduli seseorang mahasiswa mengenai masyarakat sekelilingnya jauh lebih penting walaupun kamu nanti mungkin hanya akan bekerja dengan mesin." jelas profesor tersebut.

p/s Pengajarannya : Kita sering melakukan sesuatu berdasarkan apa yang tercatat di atas kertas. Kita ibarat robot yang sangat patuh kepada sistem. Hakikatnya ISLAM membawa saranan agar mementingkan nilai kemanusiaan. Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia-manusia lain...^_^"



Situasi 2 :


Kisah Sang Katak..


Sekumpulan katak berkumpul mengelilingi sebuah perigi yang separuh siap. Dua ekor katak telah terperangkap di dalam perigi itu...akibat tidak berhati-hati ketika melompat. Mereka melihat ke dalam perigi tersebut. Ternyata terlalu dalam. Pantas mereka sepakat, sudah tiada harapan lagi. "Kamu tawakal saja la. Mungkin ini nasib kamu! " jerit katak yang berada di atas kepada dua ekor katak di dalam perigi itu.
"Kamipun tidak tahu bagaimana cara kami nak bantu kamu naik ke atas," kata katak yang lain pula. "Itulah kamu, kenapa cuai sangat? Inilah padahnya tidak berhati-hati. Kalaulah kamu betul-betul melompat, takkan jadi tragedi macam ni," tambah katak yang lain .


Namun kedua-dua ekor katak itu tetap berusaha naik ke atas dengan melompat. Masih gagal juga. Dari atas pula, terus kedengaran suara-suara yang hanya membunuh harapan mereka. Setelah agak lama mencuba, salah seekor katak berputus asa. Badannya sakit-sakit dan lenguh-lenguh akibat melompat tidak berhenti-henti. Tenaganya pula semakin lemah. Dia hanya mampu bersandar pada dinding perigi. Sementelah pula semangatnya lumpuh dek kata-kata yang tidak memberangsangkan dari atas . Tidak berapa lama kemudian, diapun mati. MATI KATAK...


Kumpulan katak di atas hanya mampu melihat. Melihat rakannya telah mati, katak yang seekor lagi meneruskan usahanya melompat ke atas. "Kamu tidak nampak ke kawan kamu tu dah mati? Kamu pun nanti akan menyusul sama!" "Buat kali terakhir ni, kamu nak makan apa? Kami akan bawakan." Begitulah pelbagai teriakan kedengaran dari bahagian atas perigi. Namun katak itu tidak memperdulikannya. Dia terus melompat. Akhirnya, seperti ada suatu semangat baru, katak itu melompat begitu tinggi dan berjaya keluar.


Takjub melihat apa yang berlaku, seekor katak menemuramahnya : "Kenapa kamu tetap melompat walaupun kami sudah menyuruh kamu menerima takdir yang kamu mungkin akan mati seperti kawan kamu itu?" "Sebenarnya telinga saya kurang dengar. Saya ingatkan kamu semua memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha melompat. Saya lihat mulut kamu semua menjerit sesuatu, seolah-olah memberi semangat kepada saya. Sebab itulah saya terus berusaha, tidak mahu mengecewakan kamu semua."


p/s : Kamu, adalah apa yang kamu fikirkan..^_^
        Kadangkala, tersalah sangka juga ada manfaatnya, terutama apabila kita menyangka niat seseorang yang jahat itu sebenarnya baik untuk kita..lalu kita mendapat manfaat daripadanya.

No comments:

Post a Comment