Thursday 24 May 2012

Mari Menyanyi...(^_^)

Salam Sejahtera murid-murid.
Di sini cikgu ingin berkongsi beberapa buah nyanyian kanak-kanak yang boleh murid-murid belajar sambil berhibur.
Antaranya :
1. Burung Kakak Tua..boleh klik di sini..

2. Embun Sok Sek..
    http://www.mediafire.com/?3dztoymnedt

3.Jing Kling Nona..
   http://www.mediafire.com/?jnkij4mitml

4. Lodeh Mak Lodeh..
    http://www.mediafire.com/?dzobfmowvzy

5. Puteri Santubong..
    http://www.mediafire.com/?yqnmt1yew3z

Tuesday 22 May 2012

Ciri-ciri Murid Cemerlang..


Selamat sejahtera murid-murid.
Semasa duduk-duduk di depan komputer ini, tiba-tiba cikgu teringat untuk berkongsi sedikit ilmu dengan kalian. Kali ini adalah mengenai ciri-ciri peribadi murid cemerlang. Cemerlang yang boleh menjadi contoh kepada orang lain.

Seorang murid yang cemerlang, padanya terdapat banyak ciri-ciri kebaikan. Ciri - ciri tersebut banyak membantu murid-murid ini untuk berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah...(^_^)

Berikut merupakan ciri yang harus dimiliki oleh seseorang murid yang ingin menjadi seorang cemerlang di dunia seterusnya cemerlang di akhirat.

1.  Taat kepada Allah.
2.  Taat kepada kedua ibu bapa.
3.  Taat dan hormat kepada guru.
4.  Sentiasa bermotivasi, bersemangat.
5.  Tekun dan rajin berusaha.
6.  Tidak mudah putus asa.
7.  Sentiasa bersyukur kepada Allah.
8.  Pandai memilih rakan.
9.  Sentiasa bersangka baik dan befikiran positif.
10 Tidak bersikap dan berfikiran negatif.
11.Rajin bertanya.
12.Ada strategi yang baik.
13.Beriadah.
14.Menjaga pemakanan..(berkhasiat,halal dan daripada sumber yang halal)
15.Berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Cuba periksa diri murid-murid. Adakah ciri-ciri yang cikgu sebutkan di atas,terdapat dalam diri murid-murid? Jika ada, tahniah cikgu ucapkan. Sebaliknya, jika belum memenuhi kriteria tersebut, ayuh kita perbaiki bersama-sama. InsyaAllah.
Semoga murid-murid cikgu tergolong dalam kalangan murid-murid yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Mari Berkreativiti..(^_^)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
 Selamat bertemu kembali, setelah beberapa waktu cikgu "berehat" selepas menyiapkan tugasan-tugasan yang diterima daripada para pensyarah cikgu.


 Alhamdulillah, terus terang cikgu berasa amat lega kerana berjaya menyiapkan semua tugasan tersebut dengan baik. Hari ini cikgu hendak bersantai-santai dengan murid-murid untuk melakukan aktiviti yang turut menjadi kegemaran cikgu semasa berusia seperti murid-murid.


Ya..cikgu juga suka melukis dan mewarna.Murid-murid sangat bertuah kerana pada hari ini kerja melukis dan mewarna telah menjadi bertambah senang dengan adanya sumber dan bahan yang mudah didapati daripada laman-laman web di dalam internet.


 Satu perkongsian dari cikgu,sebenarnya cikgu puas mencari lukisan-lukisan warna hitam putih untuk diwarnakan kanak-kanak dan juga pelajar sekolah. Puas taip dalam bahasa Melayu tetapi sangat sedikit yang cikgu jumpa. Kemudian,cikgu cuba pula dengan keyword dalam bahasa Inggeris. Itupun cikgu cuma dapat satu atau dua sahaja. Namun, sebaik sahaja cikgu klik pada gambar ini :









ianya telah membawa cikgu kepada ratusan gambar yang boleh didownload dan diwarnakan untuk oleh murid-murid. Berikut adalah link yang cikgu maksudkan :


 LUKISAN UNTUK KANAK-KANAK / KID COLOURING PAGES
 (http://www.freecoloring.info/kid-coloring-pages.php)

Sunday 6 May 2012

Lagu Peribahasa

Assalamualaikum wbt, murid-murid.
Apa khabar ? Cikgu doakan semuanya sihat sejahtera.
Hari ini cikgu ingin mengajak kamu menyanyikan lagu peribahasa sambil mencatatkan maksud peribahasa tersebut.
Ayuh, kita menyanyi..klik pada video yang disediakan.


Cerita lagi.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.
Haa..sudah agak lama cikgu tidak bercerita dengan murid-murid. Hari ini, cikgu ada sebuah cerita haiwan yang ingin dikongsikan. Murid-murid boleh klik pada video di bawah ini. Tonton dan dengarkan ye..



Berdasarkan cerita ini, cikgu mahu murid-murid nyatakan tiga pengajaran yang boleh dijadikan panduan kepada murid-murid. Apakah watak yang baik di dalam cerita ini? Siapa pula yang tidak patut ditiru kelakuannya? Mengapa?                                                                                                    

Fikir-fikir..

1. Membawa harta menyusahkan kita bagi menjaganya,
    Membawa ilmu menyenangkan jiwa sebab sesiapapun tidak dapat mencurinya,
    Kalau dibahagikan kepada orang, ia akan bertambah.
    Ilmu tidak payah dikawal dan dijaga seperti harta.


2. Guru mengajar lebih melalui keperibadian mereka, berbanding apa yang mereka katakan.


3. Mengajar adalah profesion yang mengajar semua profesion lain..

Hati Kecil Dan Hati Besar.


Hati saya kecil,
   Cepat terasa apabila ditegur.


   Hati cikgu besar,
   Ditegur bapa pelajar cikgu tetap bersabar.


   Hati saya kecil,
   Dipukul sedikit terus mengadu.


   Hati cikgu besar,
   Dikutuk orang tetap tidak kisah.


   Hati kecil cepat terasa.
   Hati besar sentiasa berlapang dada.


   Doa saya setiap hari,
   Semoga hati saya cepat membesar.

p/s : puisi ini sahaja dititipkan sebagai perbandingan rasa antara seorang pelajar dengan seorang   pendidik.
Mungkin ada benarnya kan..^_^

Saturday 5 May 2012

Orang kata...Saya kata..






Orang kata cikgu garang,
Saya kata cikgu marah kerana sayang.


Orang kata cikgu bengis,
Saya kata demi kebaikan cikgu bertegas.


Orang kata cikgu baik,
Saya kata bukan baik tetapi sangat baik.


Orang kata cikgu macam bagus,
saya kata murid yang bagus hasil didikan guru yang bagus.


Orang kata cikgu dibayar gaji,
Saya kata budi cikgu tidak ternilai oleh gaji.


Orang kata cikgu akan dilupakan,
Saya kata doa untuk cikgu kekal sepanjang zaman.



Saya Tidak Buat!!

Seorang kanak-kanak perempuan baru pulang dari sekolah. Matanya merah kerana dia baru lepas menangis. Ibunya yang sedang mengemas dapur terperanjat apabila melihat  anaknya, lalu bertanya," Dina, mengapa mata kamu merah? Kamu menangis?" Ibu itu merapati anaknya.
Anak itu hanya mengangguk.


"Mengapa kamu menangis?" Ibu itu bertanya lagi. "Saya dimarahi cikgu atas perkara yang saya tidak buat. Betul ibu. Saya tidak buat perkara itu." Si anak bersungguh-sungguh menerangkan.


"Itu tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya kamu tidak buat, mengapa pula kamu dimarahi? Tetapi..." Ibu itu terhenti seketika. "Apa yang kamu tidak buat?
Dengan selamba si anak menjawab," Kerja rumah."
"Hmmmmmmmmmmmmmm.." Si ibu melepaskan keluhan panjang.

Mahu Jadi Apa??

Dahulu pernah ibu bertanya,
Mahu jadi apa, apabila dewasa?
Saya senyum sampai ke telinga, 
Ahli bomba itulah cita-cita.


Namun apabila masuk sekolah,
 Hati saya mula berubah,
 Lihat kawan menulis di sebelah,
Mahu jadi doktor, tak mahu kalah.


Tetapi sejenak saya berfikir,
Walau apapun impian diukir,
Tanpa guru, sukar dizahir,
Tekun mengajar, tidak pernah mungkir.


Kini saya membuka mata,
Apapun cita-cita apabila dewasa,
Saya mahu jadi manusia berguna, 
Berbakti kepada nusa dan bangsa.


Buat guru yang saya sayang,
Budimu sentiasa akan dikenang,
Ilmu dipegang, tidak pernah lekang,
Semoga menjadi insan cemerlang.

p/s : Pantun berkait ini saya terima daripada bekas pelajar saya yang kini sudah berada di menara gading dan menuntut dalam jurusan kedoktoran. Baru-baru ini sedang saya mengemas barang-barang untuk berpindah, saya temui kad ucapan yang diberi kepada saya oleh pelajar tersebut semasa sambutan Hari Guru 8 tahun yang lalu. Sejuk hati saya apabila terkenang akan pelajar tersebut. Pasti sejuk juga perut ibu yang mengandungkan dia. Alhamdulillah.