Assalamualaikum wbt, murid-murid. Apa khabar ? Cikgu doakan semuanya sihat sejahtera. Hari ini cikgu ingin mengajak kamu menyanyikan lagu peribahasa sambil mencatatkan maksud peribahasa tersebut. Ayuh, kita menyanyi..klik pada video yang disediakan.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Haa..sudah agak lama cikgu tidak bercerita dengan murid-murid. Hari ini, cikgu ada sebuah cerita haiwan yang ingin dikongsikan. Murid-murid boleh klik pada video di bawah ini. Tonton dan dengarkan ye..
Berdasarkan cerita ini, cikgu mahu murid-murid nyatakan tiga pengajaran yang boleh dijadikan panduan kepada murid-murid. Apakah watak yang baik di dalam cerita ini? Siapa pula yang tidak patut ditiru kelakuannya? Mengapa?
1. Membawa harta menyusahkan kita bagi menjaganya, Membawa ilmu menyenangkan jiwa sebab sesiapapun tidak dapat mencurinya, Kalau dibahagikan kepada orang, ia akan bertambah. Ilmu tidak payah dikawal dan dijaga seperti harta.
2. Guru mengajar lebih melalui keperibadian mereka, berbanding apa yang mereka katakan.
3. Mengajar adalah profesion yang mengajar semua profesion lain..
Seorang kanak-kanak perempuan baru pulang dari sekolah. Matanya merah kerana dia baru lepas menangis. Ibunya yang sedang mengemas dapur terperanjat apabila melihat anaknya, lalu bertanya," Dina, mengapa mata kamu merah? Kamu menangis?" Ibu itu merapati anaknya. Anak itu hanya mengangguk.
"Mengapa kamu menangis?" Ibu itu bertanya lagi. "Saya dimarahi cikgu atas perkara yang saya tidak buat. Betul ibu. Saya tidak buat perkara itu." Si anak bersungguh-sungguh menerangkan.
"Itu tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya kamu tidak buat, mengapa pula kamu dimarahi? Tetapi..." Ibu itu terhenti seketika. "Apa yang kamu tidak buat? Dengan selamba si anak menjawab," Kerja rumah." "Hmmmmmmmmmmmmmm.." Si ibu melepaskan keluhan panjang.
Dahulu pernah ibu bertanya, Mahu jadi apa, apabila dewasa? Saya senyum sampai ke telinga, Ahli bomba itulah cita-cita.
Namun apabila masuk sekolah, Hati saya mula berubah, Lihat kawan menulis di sebelah, Mahu jadi doktor, tak mahu kalah.
Tetapi sejenak saya berfikir, Walau apapun impian diukir, Tanpa guru, sukar dizahir, Tekun mengajar, tidak pernah mungkir.
Kini saya membuka mata, Apapun cita-cita apabila dewasa, Saya mahu jadi manusia berguna, Berbakti kepada nusa dan bangsa.
Buat guru yang saya sayang, Budimu sentiasa akan dikenang, Ilmu dipegang, tidak pernah lekang, Semoga menjadi insan cemerlang.
p/s : Pantun berkait ini saya terima daripada bekas pelajar saya yang kini sudah berada di menara gading dan menuntut dalam jurusan kedoktoran. Baru-baru ini sedang saya mengemas barang-barang untuk berpindah, saya temui kad ucapan yang diberi kepada saya oleh pelajar tersebut semasa sambutan Hari Guru 8 tahun yang lalu. Sejuk hati saya apabila terkenang akan pelajar tersebut. Pasti sejuk juga perut ibu yang mengandungkan dia. Alhamdulillah.